JASIN – Deretan 14 buah kedai papan yang berusia hampir 100 tahun di Pekan Simpang Bekoh di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Teknikal, Saiful Nazri Mohd. Nor berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.57 petang melalui talian MERS 999.
“Sebaik tiba kita dapati api sedang marak dan membakar deretan kedai papan melibatkan keluasan 40×150 kaki persegi.
“Sebanyak 14 unit kedai terlibat dalam kebakaran ini yang terdiri daripada kedai pakaian, kedai makan, kedai telefon bimbit, kedai motosikal, kedai sayuran serta beberapa unit kedai kosong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, hampir 90 peratus struktur kesemua premis terbabit telah hangus terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Mengulas lanjut, katanya, pasukan bomba turut berdepan cabaran apabila tekanan air di kawasan terbabit rendah, sekali gus menyukarkan operasi pemadaman.
“Tekanan air yang rendah daripada pili bomba di kawasan tersebut telah menyukarkan operasi awal, namun pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain.
“Kita telah menggunakan empat aliran hos dari BBP Jasin dan Jasin Bestari, overhaul sedang dijalankan dengan bantuan tangki air dari BBP Ayer Keroh dan Bukit Gambir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE