PETALING JAYA – Bintang K-pop, G-Dragon mencuri tumpuan peminat tempatan apabila tampil berkomunikasi dalam bahasa Melayu ketika konsertnya semalam, sekali gus membuatkan seluruh stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, ‘meletup’ dengan jeritan histeria.
Menerusi satu klip video yang dimuat naik penyampai radio, Munaabella di TikTok, penyanyi kumpulan Big Bang itu dilihat cuba mengambil hati peminat Malaysia dengan menyebut beberapa frasa dalam loghat Melayu.
“Korang dah makan? Mantap, mantap, terima kasih. Enjoy tak? Syok gila! Saya gembira jumpa korang,” katanya.
Gelagat spontan itu nyata mencairkan hati ramai, malah rata-rata peminat membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi lucu dan teruja.
“Bolehlah abang naga (G-Dragon) jadi orang Malaysia, mai (mari) lah duduk sini, hari-hari kami tengok,” komen Finie.
“Lepas tanya korang dah makan, lepastu dia macam malu hehehe dah aku pun ‘blushing’ kenapa pula,” kata Cikpooja.
“Aku yang dekat sini pun sengih-sengih lah tengok dia (G-Dragon) cakap melayu,” komen Nareenf. – KOSMO! ONLINE