PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui belum sepenuhnya gembira ketika menyaksikan anak-anak buahnya berpesta gol meraih kemenangan 7-1 ke atas Brunei pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala Asean B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.
Walaupun tiga mata itu dilihat sebagai ‘modal’ untuk berdepan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di venue sama esok, Nafuzi nyata kurang gembira dengan aksi pemain khususnya ketika melakukan tugasan bertahan.
Nafuzi mengakui satu gol yang dilepaskan kepada Brunei adalah satu kerugian besar dan kini tidak boleh lagi mengulangi kesilapan sama pada pertemuan dengan skuad Garuda.
“Walaupun menang besar, tetapi kita bolos satu gol, itu memberi satu kerugian untuk pasukan. Kami perlu mengelak benda seperti itu dan jangan ambil mudah.
“Saya harap pemain dapat pengajaran daripada perkara berkenaan yang mana ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya yang kini berdepan detik lebih mencabar bagi mencipta kejutan ke atas Indonesia.
Ketika ini skuad negara berada di kedudukan ketiga kumpulan, terikat tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Filipina namun, The Azkals memiliki kelebihan selepas mengambil kira format ‘head to head’.
Indonesia berada di kedudukan teratas dengan mata maksimum daripada dua perlawanan dan berdasarkan format pertandingan, tiga juara kumpulan serta satu naib juara terbaik akan melangkah ke separuh akhir.