fbpx

Suri rumah dituduh miliki pistol, peluru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, P. Dharshiniy, 23, (tengah) dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani  untuk sebutan kes berkaitan senjata api dan pengedaran dadah.

SUNGAI PETANI – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, peluru dan pengedaran dadah.

Tertuduh, P. Dharshiniy, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan dan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, Dharshiniy bersama seorang lelaki yang telah meninggal dunia didakwa memiliki sepucuk senjata jenis pistol tanpa lesen di sebuah rumah di Residensi Utama, Sungai Petani pada 6 Julai lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lagi pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan kedua, Dharsiniy didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 236.40 gram.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama lelaki sama turut didakwa memiliki 45 butir peluru di lokasi dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, S. Daniel memaklumkan bahawa jaminan itu tidak akan dibayar kerana anak guamnya masih terikat dengan dua pertuduhan lain yang tidak membenarkan jaminan.

Mahkamah menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menahan isteri kepada seorang lelaki disyaki penjenayah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Puteri Jaya, dekat Sidam Kiri, pada 6 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI