SEPANG – Sistem pintu automatik (autogate) untuk pelawat asing di pintu masuk utama negara kembali beroperasi dan pulih sepenuhnya mulai malam tadi.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau dimaklumkan semua ‘autogate’ mula beroperasi pada kapasiti penuh.
Katanya, pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada pelawat yang terjejas selain cuba memastikan insiden sama tidak akan berulang lagi.
“Saya dimaklumkan 380,000 pengunjung luar negara terkesan dengan gangguan autogate semalam,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan gangguan itu, pihaknya mengarahkan semua kaunter pintu masuk dikendalikan secara manual oleh pegawai bertugas bagi melancarkan pergerakan masuk dan keluar pelawat.
Jelasnya, pihaknya turut menguar-uarkan mengenai insiden itu di semua platform media sosial untuk makluman kepada pelawat khususnya dari Singapura supaya merancang atau menangguhkan perjalanan ke tarikh lain.
Ditanya sama ada gangguan tersebut adalah disebabkan perbuatan sabotaj, Mohd. Suhaily berkata, pihaknya akan melihat perkara itu namun buat masa ia tidak dilihat sebagai punca gangguan. – KOSMO! ONLINE