PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim atasan lain kerana menghormati sistem dan prosedur pemilihan.
Perdana Menteri berkata, selama seminggu beliau ditohmah dan didakwa sebagai perosak badan kehakiman.
Namun kata beliau, apa yang dilaksanakan adalah berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
“Seminggu dia (pembangkang) ‘balun’ kita setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman, tetapi hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada.
“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Prosesnya (adalah) saya dapatkan nama (calon hakim) daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), timbang, bawa kepada YDPA dan bila diperkenan ia akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja (MRR).
“Selepas itu saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, dipersetujui, YDPA tandatangan dan barulah saya boleh jawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Pulau Pinang semalam.
Video ucapan itu dikongsikan beliau di Facebooknya hari ini.
Pada Khamis lalu, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan MRR berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Datuk Azizah Nawawi pula dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara. – KOSMO! ONLINE.