ROMPIN – Seorang peniaga ayam segar maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Simpang Selancar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika mangsa, Ab Hamid Md Saman, 69, dalam perjalanan mengambil bekalan ayam segar dari rumahnya di Felda Keratong 1 ke Segamat di Johor.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar sebuah lori yang datang dari arah hadapan.
“Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan berselekoh dan semasa kejadian permukaan jalan kering dengan cuaca yang baik. – KOSMO! ONLINE