MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan lemas di kolam renang sebuah rumah inap jenis kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, di sini pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Zahery Mohd. Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.45 pagi dan sepasukan lapan anggota termasuk tiga jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian kita dapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam terlebih dahulu sebelum pasukan bomba sampai.
“Bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) cuba diberikan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian di bawa ke Hospital Melaka oleh ambulans untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE