PUTRAJAYA – Penjawat awam di seluruh negara diingatkan supaya tidak menyertai himpunan mega dianjurkan pihak pembangkang yang dijadualkan pada 26 Julai ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjawat awam perlu patuh dengan ikrar yang telah termaktub dalam Rukun Negara.
“Mana boleh turun, mereka penjawat awam. Sebab setiap hari, setiap minggu kita baca ikrar (Rukun Negara) itu. (Salah satu prinsip Rukun Negara) Kesetiaan kepada raja dan negara…lupa ke?
“Taat setialah kita kepada raja dan negara,” katanya ketika ditanya saranan kepada penjawat awam yang mahu menyertai himpunan itu selepas melancarkan Karnival Sukan Ansara 2025, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikanan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini. – KOSMO! ONLINE