PETALING JAYA – Globetronics Technology Bhd (GTB), pemain dalam industri pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dan semikonduktor, telah mengambilalih kepentingan sebanyak 30.85 peratus di dalam Mpire Global Berhad (Mpire Global) dengan nilai RM45.05 juta.
Pengambil alihan kepentingan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Globetronics (KL) Sdn. Bhd. (GKL) dibiayai sepenuhnya daripada dana dalamannya.
Menurut kenyataan, pengambilalihan tersebut tidak akan menjejaskan struktur modal atau kedudukan penggearan GTB secara material, memastikan kestabilan kewangan yang berterusan.
“Pelaburan tersebut dijangka menambah pendapatan untuk GTB, mengukuhkan prestasi kewangan Kumpulan dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, GTB menerangkan, pihaknya melihat pemerolehan dalam Mpire Global ini sebagai peluang strategik yang sejajar dengan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan dan kepelbagaian yang mampan.
“Dengan perolehan ekuiti yang besar ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pengembangan berterusan Mpire Global dan memanfaatkan potensi sinergi.
“Kami menjangkakan kerjasama ini akan mewujudkan nilai pemegang saham jangka panjang dalam industri jangka panjang,” katanya.
Mpire dan anak-anak syarikatnya beroperasi terutamanya dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, perkhidmatan pengurusan armada yang termasuk perdagangan dan pajakan kenderaan bermotor, penyediaan penyelesaian pengurusan armada bersepadu dan perkhidmatan selepas jualan serta perkhidmatan pembiayaan yang berkaitan.
Kesemua perkhidmatan tersebut memenuhi kedua-dua segmen pengguna dan komersial.
Tambah kenyataan tersebut, pengambilalihan itu dilaksanakan melalui kedua-dua urus niaga luar pasaran dan pasaran terbuka, mencerminkan niat strategik dan pendekatan pelaburan proaktif GTB.
“Tiada liabiliti atau jaminan luar jangka yang timbul daripada pengambilalihan ini, mengukuhkan prinsip pengurusan kewangan berhemat yang dipegang oleh Kumpulan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE