PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ekonomi negara kekal kukuh, namun kerajaan masih mendengar keresahan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, meskipun indikator utama ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan, seperti kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, keluhan rakyat bawahan masih perlu ditangani segera.
“Dari segi makroekonomi, ekonomi baik. Inflasi rendah, pengangguran rendah. Tetapi di peringkat bawah masih ada sedikit kegelisahan,” katanya ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Kenduri Rakyat di Kampung Pachitan, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau sedang berbincang dengan pegawai kewangan dan ekonomi untuk memuktamadkan beberapa langkah yang akan diumumkan pada minggu depan.
Mengulas mengenai pentadbiran negara, Anwar menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan dan semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang diterajuinya.
“Semangat dalam kerajaan sangat luar biasa. Kita diberi amanah, dan kerjasama antara parti dalam gabungan ini yang sangat baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE