JOHOR BAHRU – Pemandu e-hailing lelaki berputih mata apabila mengalami kerugian RM301,300 akibat terpedaya dengan skim pelaburan atas talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 67 tahun mendakwa kejadian mula berlaku pada April lalu apabila dia terjerat helah seorang wanita warga tempatan yang baru dikenalinya.
Katanya, wanita itu memperkenalkan mangsa kepada satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat melibatkan saham luar negara.
“Mangsa yang percaya akan janji wanita tersebut telah melakukan sebanyak 11 transaksi ke keempat-empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM301,300.
“Mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang keuntungan sebaliknya diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran hasil keuntungan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburannya gagal dan membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas wanita terbabit tidak dapat dihubungi lagi.
“Siasatan awal melalui platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati tiga daripada akaun yang digunakan mempunyai rekod 27 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan,” katanya. – KOSMO! ONLINE