PETALING JAYA – “Sayang, rehatlah dengan tenang ya di taman syurga Allah. Doakan abang dengan anak anak ya.”
Demikian luahan sayu suami Allahyarham Ain Farhana Mohd Fadzli, 27, yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa ketika melahirkan anak kedua baru-baru ini.
Dalam ciapan di aplikasi Threads, Khairul Azhar Jainal Abidin memuat naik video memaparkan dia bersama isterinya menunaikan solat jemaah.
Dalam hantaran tersebut, Khairul meruntun hati orang ramai apabila mengucapkan penghargaan dan mendoakan arwah isterinya yang meninggal dunia di Hospital Shah Alam.
“Terima kasih sayang atas cinta yang sayang semai dalam hati abang, mekar mewangi hingga mati.
“Abang bangga dengan pengakhiran sayang. Semoga kita disatukan di taman syurga Allah,” tulisnya dengan tanda pagar #bidadarisyurgaabang #cintamatiabang.
Terdahulu, video tular Khairul mencium dan mendoakan isterinya buat kali terakhir meruntun hati pengguna media sosial.
Khairul di dalam doanya menyifatkan arwah Ain Farhan sebagai pasangan dan ibu terbaik kerana ‘pergi’ dalam keadaan bertarung nyawa melahirkan zuriat kedua mereka.
Arwah Ain Farhana meninggalkan dua cahaya mata iaitu Uthman Attaki, 2, dan bayi baru lahir, Helena Attiya. – KOSMO! ONLINE