LAPANGAN terbang menjadi tempat pendaratan pesawat di tempat yang dituju. Namun, terdapat beberapa lapangan terbang di dunia yang sangat berbahaya dan digeruni disebabkan oleh cuaca, bentuk muka bumi dan ketiadaan sistem sokongan untuk mendaratkan pesawat dengan selamat.
Malah, juruterbang perlu gunakan penglihatan sendiri kerana ketiadaan radar, lampu serta melalui lembah yang sempit beberapa saat sebelum mendarat. Situasi getir ini memerlukan juruterbang yang diiktiraf sahaja dan seolah-olah mengorbankan diri sendiri.
CitaRasa kongsikan lima lapangan terbang paling berbahaya di dunia menurut laman Spreading Geography dan portal-portal lain.
1- Lapangan terbang Lukla
MENDAHULUI carta lapangan terbang paling berbahaya di dunia ialah Lukla di Nepal atau nama rasminya Tenzing-Hillary. Ia dianggap paling berbahaya kerana gabungan altitud tinggi, landasan pendek, bentuk bumi bergunung-ganang dan cuaca tidak menentu.
Ia dibina di tepi gunung, tiada radar dan tiada lampu. Oleh itu, juruterbang perlu mendaratkan sepenuhnya menggunakan penglihatan mereka. Hanya lapan orang juruterbang di dunia yang dibenarkan mendaratkan pesawat di sini. Meskipun berbahaya tetapi lapangan terbang Lukla cukup popular kerana menjadi titik permulaan untuk pengembara menuju ke Pangkalan Kem Gunung Everest.
2- Lapangan Terbang Antarabangsa Toncontin
DI tempat kedua adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Toncontin di Honduras yang sangat berbahaya dengan lokasi mencabar dan landasan pendaratan pendek.
Terletak di ibu kota Tegucigalpa dan dikelilingi oleh kawasan pergunungan yang memerlukan penerbangan di kawasan curam serta rumit. Juruterbang perlu membuat pusingan yang sangat ‘ketat’ dengan 45 darjah beberapa saat sebelum mendarat.
Juruterbang berpengalaman sering berseloroh, jika anda tidak mendarat di Toncontin, maka anda akan hidup.
3- Lapangan Terbang Madeira
LAPANGAN terbang Madeira di Portugal atau nama rasminya Lapangan Terbang Antarabangsa Cristiano Ronaldo juga dikatakan paling berbahaya di dunia kerana pendaratan yang mencabar, lokasi dan keadaan cuaca yang unik.
Ia juga dibina di atas lautan dengan tiupan angin bersilang yang sangat kuat sehinggakan beberapa pesawat telah tergelincir dari landasan termasuk nahas maut pada tahun 1977 yang mengorbankan 131 orang.
Walaupun dianggap sebagai salah satu lapangan terbang paling sukar di dunia, ia juga merupakan destinasi popular untuk peminat penerbangan.
4- Lapangan terbang Courchevel
SETERUSNYA, lapangan terbang Courchevel yang terletak di sebuah resort ski di Alps, Perancis turut tersenarai sebagai lapangan terbang paling berbahaya di dunia.
Ia mempunyai landasan yang sangat pendek hanya 537 meter dengan kecerunan 18.6 peratus. Lapangan ini juga tiada prosedur untuk pendaratan kerana kawasan pergunungan di sekelilingnya.
Bukan itu saja, lapangan terbang ini juga tiada instrumen untuk membantu pendaratan termasuklah tidak mempunyai lampu dan dilitupi ais 70 peratus.
Pada 2019, sebuah pesawat kecil tergelincir dari landasan dan terhempas.
5- Lapangan terbang Paro
LAPANGAN terbang Paro di Bhutan juga tersenarai sebagai lapangan terbang paling berbahaya kerana dikelilingi oleh gunung Himalaya dan pesawat perlu terbang dengan melalui lembah sempit.
Hanya 17 juruterbang di dunia yang mempunyai sijil untuk mendarat di sini kerana kawasan tersebut yang sangat berbahaya.
Disebabkan lapangan terbang ini berbahaya, operasi dihadkan kepada waktu siang sahaja kerana kekurangan sistem untuk membantu pendaratan termasuk radar.