KUALA LUMPUR – “Thalita anak yang baik”.
Demikian kata isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah yang menegaskan video tular yang mendakwa anak tirinya bersikap kurang sopan hanyalah salah faham.
Menurut Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, perkara tersebut berlaku secara spontan dan Thalita bukanlah kasar seperti yang didakwa netizen.
“Sejujurnya saya sendiri tidak perasan kerana kejadian itu berlaku secara spontan ketika live di TikTok. Masa itu dia tengah bercakap dengan orang-orang yang menonton.
“Saya hidup dengan dia dan saya kenal dia. Dia bukan anak yang kurang ajar. Kalau situasi bercakap kasar berlaku di rumah mesti saya akan tegur. Tapi dalam situasi tersebut dia tidak bermaksud pun mahu berkata begitu,” katanya.
Watie mengulas perkara itu selepas tular video kedengaran suara Thalita memanggilnya dengan panggilan ‘woi’ yang dimuat naik di laman sosial miliknnya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan cara Thalita yang dianggap tidak menghormati orang yang lebih tua.
Tambah Watie, dia juga telah menjelaskan hal sebenar kepada Thalita untuk mengelakkan anak tirinya tertekan kerana isu tersebut.
“Lepas video itu menjadi tular, saya berterus-terang kepada Thalita. Saya kena beritahu sebelum dia terbaca sendiri di laman sosial.
“Saya tak mahu dia salah faham dan terasa. Disebabkan saya muat naik video tersebut, dia pula jadi mangsa kecaman netizen,” ujar Watie yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty semalam.
Thalita merupakan anak kedua Shuib hasil perkahwinan bersama penyanyi Allahyarham Siti Sarah. Watie berkahwin dengan Shuib pada 23 Jun 2023. -KOSMO!ONLINE