KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke final Terbuka Jepun selepas mudah menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, sebentar tadi.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Sze Fei- Nur Izzuddin mempersembahkan aksi cukup agresif apabila hanya mengambil masa 35 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-11.
Lebih manis, Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut Sze Fei-Nur Izzuddin ke atas pasangan Taiwan itu selepas turut mencatat keputusan sama di kejohanan edisi lalu.
Kemenangan tersebut memastikan langkah Sze Fei-Nur Izzuddin semakin hampir untuk mempertahankan gelaran kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu.
Namun, misi Sze Fei-Nur Izzuddin untuk mempertahankan gelaran di Jepun tidak mudah apabila mereka berdepan cabaran getir gandingan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Pasangan Korea itu menempah slot ke final selepas menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dengan kemenangan straight set 21-14, 21-15.
Atas kertas, rekod pertemuaan kedua-dua gandingan tersebut agak seimbang selepas terikat 1-1, namun Sze Fei-Nur Izzuddin terlebih dahulu melakar kemenangan ke atas gandingan Korea tersebut di Terbuka India pada 19 Januari lalu.
Pada Mac lalu, Won Ho-Seung Jae pula bangkit mencipta kemenangan ke atas gandingan Malaysia itu di pusingan kedua di All England pada 13 Mac lalu.
Jika berjaya mempertahankan gelaran esok, Sze Fei-Nur Izzuddin akan mencipta sejarah menjadi beregu lelaki pertama Malaysia menjuarai Terbuka Jepun sebanyak dua kali.
Kemenangan tersebut sekali gus mengatasi pencapaian beregu legenda negara seperti Razif-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002) yang masing-masing pernah menjulang Terbuka Jepun sekali. -KOSMO! ONLINE