JASIN – Tindakan seorang remaja lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk menahan seorang wanita akhirnya memakan diri apabila dia diberkas polis di sebuah pasar raya berhampiran kawasan perindustrian Telok Mas, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 18 tahun itu dilakukan sepasukan anggota yang diketuai Ketua Balai Polis Merlimau, Asisten Superintenden Hairul Azrin Abd Ghani kira-kira pukul 9 malam.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kejadian pada 16 Julai lalu kira-kira pukul 2 pagi apabila dia telah menahan seorang wanita berusia 19 tahun di simpang lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Suspek turut meminta mangsa mengeluarkan lesen memandu dan cuba mengambil kunci motosikal mangsa, namun wanita itu enggan dan menyatakan akan pergi ke Balai Polis Merlimau dan suspek kemudiannya terus beredar dari lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, susulan laporan yang dibuat mangsa, siasatan dijalankan dan polis berjaya menahan remaja terbabit dua hari kemudian bersama rampasan beberapa barangan dan kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek mengaku sudah dua kali membuat penyamaran sebagai anggota polis di sekitar Merlimau dan motifnya hanya sekadar untuk menakut-nakutkan mangsa sahaja. Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE