KUALA LUMPUR – Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan meneruskan aksi cemerlangnya apabila muncul juara Perlumbaan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Pusingan Keempat yang berlangsung di Litar Navarra, Sepanyol, hari ini.
Biarpun bermula dari petak kedua, pelumba kelahiran Terengganu itu menunjukkan tunggangan penuh berani dan konsisten sepanjang 14 pusingan, sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan keseluruhan 27 minit 25.519 saat.
Lebih manis, pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu turut mencatat pusingan terpantas perlumbaan dengan masa satu minit 56.004 saat.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila Qabil terpaksa bekerja keras menahan asakan sengit pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza, yang hanya ketinggalan 0.033 saat di garisan penamat.
“Saya bermula dengan sangat baik di grid pelepasan dan berjaya memimpin seawal pusingan pertama. Namun, saya tidak dapat kekalkan kedudukan itu apabila dipintas beberapa pelumba.
“Saya kekal tenang dan terus mengekori rapat untuk mencari ruang memintas pada saat-saat akhir. Alhamdulillah, strategi saya menjadi dan saya berjaya mencipta kemenangan hari ini.
“Perlumbaan esok pasti lebih sengit. Saya perlu tampil lebih baik dan kalau boleh, saya mahu memecut lebih awal untuk mencipta jurang dengan pencabar di belakang,” katanya.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez yang juga merupakan pencabar utama Qabil dalam perebutan kejuaraan melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan perbezaan masa 0.255 saat.
Kemenangan dramatik di Navarra itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Qabil selaku pendahulu keseluruhan ESBK apabila kini mengumpul 160 mata.
Setakat ini, selepas empat pusingan kejuaraan berlangsung, Qabil telah meraih empat kemenangan dan tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat kedua. -KOSMO! ONLINE