JAKARTA – Seorang anggota polis menangis seperti kerasukan ketika dia ‘ditangkap’ oleh pihak berkuasa kerana ponteng kerja selama 21 hari, lapor portal berita Detik semalam.
Kejadian dirakam di Kota Ternate, wilayah Maluku Utara, baru-baru ini.
Rakaman video kejadian di platform Instagram oleh akaun @medsoszone.id menunjukkan anggota terbabit menjerit meminta tolong sambil meraung ketika ditahan di tepi jalan.
Ketua Polis Maluku Utara, Inspektor Jeneral Waris Agono berkata, tindakan itu diambil selepas dia tidak datang bekerja selama 21 hari.
“Mula-mula sehari, kemudian tiga hari dan akhirnya 21 hari. Dia memilih untuk ponteng kerja dan tidak masuk pejabat.
“Anggota tersebut sedang menjalani rawatan psikologi,” kata Waris.
Rakaman itu mencatatkan lebih 45,900 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Cari kerja susah, yang dah dapat kerja pula malas,” kata seorang netizen. – AGENSI