PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035 dalam satu majlis yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.
Pelan itu turut disertai pelancaran Program Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB, yang dirangka bagi memperkasa masyarakat Bumiputera di negeri berkenaan menerusi pendekatan ekonomi, keusahawanan dan pemilikan rumah.
Menurut Anwar, kerajaan memahami pelbagai cabaran yang masih dihadapi oleh masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan, pemilikan kediaman, serta usaha untuk merebut peluang ekonomi secara adil dan saksama.
“Kuasa bukan sekadar untuk disandang, tetapi adalah amanah. Peluang yang ada mesti diterjemahkan kepada dasar, program dan projek yang menyentuh denyut nadi rakyat,” tulis beliau di media sosial.
Jelas Anwar, Pelan Induk ini akan menjadi pemacu pembangunan komuniti Bumiputera yang lebih inklusif dan mampan, manakala Program Tunas Madani pula memberi fokus kepada melahirkan usahawan muda yang berdaya tahan dan bersaing.
Sementara itu, Projek Perumahan JKPSB akan menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam majlis berkenaan, turut diadakan Program Didik Kasih Peranti Madani iaitu satu inisiatif penghargaan kepada pelajar dari keluarga B40 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, dengan pemberian peranti pendidikan sebagai galakan.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kenduri rakyat yang menghimpunkan lebih 3,000 penduduk setempat, sebagai simbol keakraban dan keterbukaan pemimpin bersama rakyat.
“Kerajaan Madani tampil dengan komitmen yang jelas. Kita mahu pembangunan yang menyeluruh dan menyentuh kehidupan rakyat, bukan sekadar angka atas kertas,” ujar Perdana Menteri lagi. – KOSMO! ONLINE