KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran melibatkan 23 pegawai kanan polis yang akan berkuat kuasa mulai 18 Ogos depan.
Pertukaran tersebut membabitkan beberapa jawatan utama termasuk Ketua Polis Negeri, Timbalan Pengarah, Komandan serta Ketua Jabatan di peringkat Bukit Aman dan negeri.
Menurut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah, pertukaran ini adalah sebahagian daripada proses penyusunan semula penugasan pegawai kanan bagi memperkukuh kecekapan organisasi PDRM.
Antara pertukaran yang diumumkan ialah Datuk Ts. Azizee Ismail yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Turut terlibat pertukaran ialah Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Shazeli Kahar yang dilantik sebagai Ketua Polis Selangor, manakala Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka turut memangku pangkat Komisioner Polis.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah dilantik sebagai Ketua Polis Kedah, manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Ab. Rahaman Arsad pula dilantik sebagai Ketua Polis Johor dengan masing-masing memangku pangkat Komisioner Polis.
Pertukaran lain melibatkan Datuk Md. Nazri Zawawi yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman; Datuk Mohd Sukri Kaman sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Senior Asisten Komisioner Dr. Che Ghazali Che Awang sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, semuanya memangku pangkat Deputi Komisioner.
Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Cawangan Khas Sarawak akan dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Sementara itu, Senior Asisten Komisioner Mohd. Taufik Toh Abdullah yang merupakan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pula akan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dari Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Bagi jawatan lain, Asisten Komisioner Lim Bak Phai yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis.
Selain itu, Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim yang merupakan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kedah pula akan mengambil alih jawatan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Sementara itu, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kedah, Mohd. Ismail Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook pula bertukar ke Johor sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri itu.- KOSMO! ONLINE.