KUALA NERUS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan tindakan penguatkuasaan tambahan bakal diambil terhadap syarikat pengendali bas persiaran terlibat dalam insiden mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berikutan laporan awal insiden terbabit yang dikeluarkan semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, sebelum ini, syarikat pengangkutan sama telah menghadapi tindakan pembatalan permit untuk beroperasi.
“Semalam sudah lihat laporan awal dikeluarkan Kementerian Pengangkutan. Ada beberapa tindakan sedang kita ambil terutama berkaitan pengendali syarikat.
“Bagi pemandu (bas) pula, kita biarkan proses di mahkamah berjalan,” katanya selepas merasmikan program MyLesen B2 peringkat Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan mendapati bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipandu pada kelajuan 117.6 kilometer sejam (km/j) iaitu melebihi dua kali ganda had ditetapkan sewaktu kejadian.
Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly berkata, JPJ bersedia bergantung bahu dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menambah baik ekosistem keselamatan jalan raya berdasarkan syor diberikan pasukan petugas khas berkenaan.
Beliau berkata, laporan awal itu telah membangkitkan banyak isu yang perlu diberi perhatian bagi memantapkan lagi
sistem keselamatan jalan raya kebangsaan.
“Perubahan yang menyeluruh perlu dibuat melibatkan keseluruhan agensi bukan sahaja JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – KOSMO! ONLINE