KUALA KANGSAR – Beberapa varieti durian baharu dijangka diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kepada umum dalam tempoh dua tahun lagi.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penilaian terhadap beberapa hibrid baharu itu sedang dijalankan ketika ini sebelum ia diperkenalkan ke pasaran.
“Kita sekarang dalam penilaian beberapa hibrid baharu tetapi kita belum dapat keyakinan untuk keluarkan. Kod bagi durian itu masih belum ada, selepas dilancarkan nanti barulah kita dapatkan,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohamad Zabawi berkata, sebanyak 13,000 pokok durian hibrid MDUR 88 yang dijenamakan semula kepada MARDI Super (MS88) telah ditanam di seluruh negara.
“Insya-Allah, mungkin dalam lima atau enam tahun akan datang dengan penanaman 13,000 pokok durian MS88 ini, kita boleh wujudkan pusat pengumpulan sebelum durian jenis ini dieksport,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, MS88 yang diperkenalkan tahun lalu akan diberikan nama baharu bagi menarik peminat raja buah itu. – KOSMO! ONLINE