DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 638 orang terbunuh sejak minggu lalu dalam keganasan antara militia Druze dan puak Badwi di Sweida, demikian menurut badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Pertempuran itu menimbulkan persoalan mengenai kuasa pemimpin Presiden Interim Syria, Ahmed al-Sharaa selepas kumpulan pimpinannya merampas kuasa daripada rejim Presiden Bashar Al Assad, Disember tahun lalu.
Seorang wartawan AFP berkata, pertempuran baharu meletus semalam antara puak Badwi dan militia Druze di pintu masuk bandar Sweida, wilayah Sweida.
Kira-kira 200 pejuang Badwi bertempur dengan puak Druze bersenjata dari bandar itu dengan menggunakan mesingan dan meriam, katanya.
SOHR turut melaporkan bahawa pertempuran dan bedilan berlaku di beberapa kejiranan di Sweida.
Sementara itu, seorang wartawan AFP menyatakan, rumah mayat Hospital Nasional Sweida dipenuhi mayat mangsa yang bertimbun.
Sebilangan kecil doktor dan jururawat di hospital bekerja untuk merawat mangsa cedera yang tiba dari medan pertempuran yang berterusan itu.
Pertempuran semalam menyaksikan berpuluh-puluh pejuang Badwi terbunuh dalam serangan oleh puak Druze.
Sebelum ini, Israel yang memberikan alasan melindungi komuniti Druze, bertindak memperhebatkan serangan udara di seluruh Syria.
Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas empat wilayah, termasuk menyasarkan pekarangan Kementerian Pertahanan Syria dan istana presiden di Damsyik, Rabu lalu.
Kelmarin Presiden Interim Syria mengumumkan perjanjian gencatan baharu yang diketengahkan oleh negara-negara Arab dan Amerika Syarikat.
Berdasarkan perjanjian itu, tentera Syria mula berundur dari Sweida untuk meredakan ketegangan. – AFP/AGENSI