SEREMBAN – Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof sempat membantu mangsa nahas lima buah kenderaan di Kilometer 259.4 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), di sini pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir dalam perjalanan dari Tampin menuju ke Port Dickson bagi menghadiri Program Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.
“Sebaik melihat kemalangan yang berlaku, Ketua Polis Negeri Sembilan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan dan turun sendiri menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan.
“Kemalangan melibatkan empat buah kereta dan sebuah lagi motosikal. Akibat kemalangan, seorang penunggang motosikal dan seorang penumpang hadapan kereta yang terlibat kemalangan mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital menaiki ambulan,” kongsi hantaran berkenaan. – KOSMO! ONLINE