MUAR – Ruangan komen ‘facebook’ milik pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang Isnin lalu dibanjiri dengan kecaman para netizen.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kesal dan marah dengan laporan palsu kehilangan Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
“Kesian anggota bomba, polis dan pihak berkuasa menyelam cari rupanya dia lari ke Siam,” kata seorang pengguna.
“Walau apa pun masalah, janganlah sampai menyusahkan orang lain. Banyak lagi cara nak buat ‘prank’, bukan dengan buat laporan palsu,” tegur pengguna lain.
“Banyak pihak terlibat nak cari dia (Ija Nizaruddin) tapi dia dengan adik dia komplot pulak buat-buat ghaib,” komen netizen.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis mempercayai bahawa kehilangan pempengaruh tersebut telah direka. – KOSMO! ONLINE