SEBERANG PERAI – Kementerian Perpaduan Negara sentiasa komited dalam mengukuhkan semangat perpaduan, kenegaraan, kebersamaan, muhibbah dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha tersebut dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan berpandukan Dasar Perpaduan Negara.
“Pada 2023, kementerian memperkenalkan satu kerangka penting yang dikenali sebagai Kerangka Perpaduan Membangun Malaysia Madani asas kepada pendekatan strategik kementerian dalam memupuk perpaduan berlandaskan nilai-nilai Madani.
“Selaras dengan itu, kementerian mengguna pakai pendekatan Perpaduan Dalam Kepelbagaian sebagai fokus utama, dengan memberikan penekanan kepada penghayatan semula Rukun Negara.
“Ini termasuklah pelaksanaan lafaz penuh ikrar Rukun Negara di sekolah, institusi pengajian tinggi, majlis rasmi kerajaan, Parlimen dan kini turut diperluaskan ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aaron berkata, kementeriannya sedang merangka pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun depan.
Jelasnya, salah satu pendekatan inovatif yang akan diperkenalkan adalah konsep dua dalam satu iaitu menggabungkan Sambutan Minggu Perpaduan dengan sambutan perayaan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing.
“Pendekatan ini mengiktiraf warisan etnik minoriti dan membuka ruang kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.
“Sebagai contoh, perayaan Songkran masyarakat Siam di Perak, pesta Kaul etnik Melanau di Sarawak, pesta Magahau etnik Rungus di Sabah, sambutan Orang Asli Temiar di Kelantan dan pesta Lepa-Lepa masyarakat Bugis di Johor,” tambahnya.
Pada Sambutan Hari Perpaduan tahun ini, tema Harmoni Dalam Kepelbagaian telah diperkenalkan untuk meningkatkan keharmonian antara penganut agama di negara ini.
Sambutan ini menjadi platform interaksi dan tapak integrasi untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta memperluas pengetahuan terhadap kepelbagaian adat, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia dengan lebih 40 aktiviti utama diadakan sepanjang penganjurannya. -KOSMO! ONLINE