PETALING JAYA – Kesal apabila terus menjadi sasaran netizen selepas didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin, pelakon Alya Iman nekad membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 24, memaklumkan fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan kerjaya seninya, malah turut memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.
“Saya ingin mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan satu isu yang sedang tular dalam media sosial yang mengaitkan nama saya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti. Akibat daripada isu ini, saya menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci, serta melabel saya.
Segala tuduhan tersebut adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat.
“Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas dalam media sosial berlaku tanpa sebarang bukti yang sah,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Kata Alya, antara lain tujuan dirinya membuat laporan polis adalah untuk memberi pengajaran kepada individu yang sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu.
Sebagai langkah mempertahankan diri dan maruah saya, saya mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.
“Saya juga berharap agar tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Tujuan saya mengambil tindakan ini adalah sebagai pengajaran kepada mana-mana individu agar lebih bertanggungjawab terhadap apa yang disebarkan lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial yang mudah menularkan maklumat yang belum tentu benar,” jelasnya.
Difahamkan, Alya yang lengkap berkebaya hijau itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi membuat laporan polis terhadap dakwaan merosakkan rumah tangga Zizi dan Yusuf.
Meskipun terus dikaitkan dengan kisah silam, Alya mengakui tidak akan mengulangi kesilapan sama dan mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Saya tidak menafikan bahawa saya bukanlah insan yang sempurna. Namun, apa yang berlaku di masa silam biarlah menjadi pengajaran.
Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik.
“Akhir kata, saya mendoakan agar semua pihak yang terlibat akan diberkati dan diredai Allah SWT.
Baru-baru ini, Alya diserang netizen dengan pelbagai kata-kata negatif sehingga terpaksa menutup ruangan komen media sosialnya.
Difahamkan, tuduhan tersebut mula timbul selepas Alya dan Yusuf sama-sama membintangi drama Si Bakhil dan Bunganya yang sedang ditayangkan menerusi Astro One.
Nama Zizi dan Yusuf menjadi bualan selepas dilihat tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.
Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021. – KOSMO! ONLINE