PETALING JAYA – Pelakon Datuk Aaron Aziz tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah agensi pengurusan umrah jika masih berdegil daripada membayar hutang sebanyak RM65,000 kepadanya.
Aaron atau nama lengkap Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, amaran tersebut dikeluarkan selepas mendapati pihak terbabit cuba mengelak untuk berurusan dengannya bagi menyelesaikan bayaran tersebut.
“Kepada Persada Global Holidays, hutang saya sebanyak RM65,000 masih belum selesai lagi.
“Saya sudah telefon tapi tidak berjawab, mesej tak dibalas. Pihak awak menghilangkan diri.
Tolong selesaikan hutang saya secepat yang mungkin. Berjumpa dengan saya dan jangan hilang,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Tambahnya, agensi tersebut juga telah melanggar syarat dalam surat perjanjian yang ditandatangi sebelum ini.
Enggan lagi memberi muka, bintang KL Gangster itu juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada agensi tersebut.
Yuran anak saya ke Amerika Syarikat siapa nak bayar? Nantikan surat peguam daripada pihak saya.
“Kontrak sudah tanda tangan untuk membuat bayaran secara ansuran tetapi tidak amanahkan pembayaran,” ujarnya.
Aaron pada Mac lalu meluahkan kekecewaan apabila mengalami kerugian hampir RM90,000 dakwa ditipu sebuah agensi pengurusan umrah.
Lebih teruk, dia juga tidak menerima bayaran gaji hasil kerjasama dengan pihak berkenaan.
Kerugian hampir RM90,000 tersebut bagi menampung kos pembiayaan melibatkan 40 orang jemaah. – KOSMO! ONLINE