PETALING JAYA – Perenang negara, Khiew Hoe Yean membuka kempen Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 dengan penuh bergaya apabila memadam rekod kebangsaan dan menghadiahkan pingat perak pertama kontinjen negara menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki semalam.
Tanpa tekanan sasaran pingat, atlet berusia 22 tahun itu berjaya mengejutkan ramai apabila menamatkan aksi di tempat kedua dengan catatan tiga minit 47.38 saat, sekali gus mamadam rekod kebangsaan miliknya sendiri (3:48.36s) yang dicatat pada Kejohanan Australia 2024.
“Ini pengubat kekecewaan saya selepas terlepas final tiga tahun lalu. Saya sangat gembira, ini catatan peribadi terbaik dan saya teruja untuk saingan seterusnya,” kata Hoe Yean yang pernah memenangi dua pingat emas Sukan SEA.
Hoe Yean yang gagal melepasi pusingan awal dalam edisi Chengdu 2023, kali ini bangkit cemerlang apabila mempamerkan strategi perlumbaan yang tenang dan berkesan.
Ia termasuk pecutan dramatik pada 50m terakhir untuk memintas pencabarnya dari Amerika Syarikat, Ryan James Erisman Jr. yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa (3:47.52s), manakala emas menjadi milik wakil Atlet Neutral Individu, Nikolai Kolesnikov (3:46.66s).
Pengurus pasukan, Tan Seng Seng menyifatkan pencapaian Hoe Yean sebagai luar biasa dan membanggakan, bukan sahaja kerana berjaya meraih pingat tetapi kerana ia hadir selepas tiga dekad tanpa sebarang kilauan pingat renang di WUG.
“Satu pencapaian luar biasa. Steve (Hoe Yean) telah melakukan tugas dengan sangat baik dan kami amat berbangga dengannya. Dia antara atlet yang disasarkan untuk raih pingat, tak kira warna apa tetapi dia hadiahkan kita perak.
“Kredit juga perlu diberikan kepada jurulatih (renang kebangsaan), Eric (Anderson) yang sentiasa membimbing dan menyesuaikan program latihan Steve untuk mencapai prestasi terbaik,” ujarnya.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara renang di WUG ialah menerusi Jeffrey Ong yang membawa pulang perak dalam acara 1,500m gaya bebas pada edisi 1991 di Sheffield, United Kingdom.
“Saya harap kejayaan ini dapat menjadi pembakar semangat buat perenang lain dalam pasukan. Kita tengok bagaimana aksi esok, tapi ini sudah beri motivasi besar kepada semua,” tambah pengurus itu. – KOSMO! ONLINE