TANGKAK – Mayat seorang warga emas yang terjatuh ke dalam Sungai Muar di Jambatan Panchor, Jalan Panchor – Gersik, di sini pagi semalam ditemui pagi hari ini.
Mangsa, Mesuan Sadiken, 62, ditemui kira-kira tiga kilometer dari jambatan Gersik, di mana tempat dipercayai dia jatuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 10 pagi selepas usaha pencarian oleh agensi penyelamat masuk hari kedua hari ini.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak bagi tujuan prosedur bedah siasat. Mayat mangsa ketika ditemui berada dalam keadaan sempurna lengkap berpakaian.
“Kertas siasatan Orang Hilang (OH) telah diklasifikasi sebagai Sudden Death Report (SDR) atau mati mengejut.
“Siasatan masih diteruskan. Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE