fbpx

Verstappen dapat restu sertai Mercedes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN didakwa telah mengadakan pertemuan rahsia dengan Wolff ketika bercuti di Sardinia minggu lalu. - AFP

LONDON – Spekulasi Max Verstappen meninggalkan Red Bull terus bertiup kencang selepas pelumba Belanda itu mendapat restu daripada Pengerusi Mercedes, Ola Kallenius untuk menyertai pasukan Jerman itu bagi musim 2026.

Difahamkan, Kallenius selaku Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes, telah memberikan lampu hijau kepada pengurusan pasukan untuk memuktamadkan perpindahan bernilai €120 juta (RM591.92 juta) menebus kontrak Verstappen.

Penghalang terbesar perpindahan itu adalah klausa keluar kontrak Verstappen bersama Red Bull yang hanya boleh diaktifkan jika pelumba Belanda tersebut gagal berada dalam kelompok tiga atau empat teratas menjelang Grand Prix (GP) Hungary awal Ogos ini.

Ketika ini, Verstappen berada di kedudukan ketiga dalam kejuaraan dunia, 18 mata mengatasi pelumba Mercedes, George Russell yang masih belum menerima lanjutan kontrak bersama pasukan itu.

Laporan turut mendedahkan Verstappen boleh mempertimbangkan saluran undang-undang untuk keluar lebih awal dari kontraknya bersama Red Bull yang sepatutnya tamat penghujung musim 2028 sekiranya klausa pelepasan gagal diaktifkan tahun ini.

Spekulasi semakin memuncak selepas Verstappen dan bos Mercedes, Toto Wolff didakwa berada di Sardinia, Itali minggu lalu sekali gus mencetuskan spekulasi pertemuan rahsia antara mereka untuk membincangkan perancangan masa depan.

“Saya dengar mereka mungkin minum kopi bersama. Bukan kebetulan dua kapal layar mereka berada bersebelahan di Sardinia,” kata bekas pemandu F1, Ralf Schumacher.

Spekulasi tercetus selepas Christian Horner dipecat oleh Red Bull baru-baru ini dan difahamkan keputusan tersebut dibuat sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan Verstappen susulan hubungan tegang Horner dan bapa Verstappen, Jos. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI