fbpx

Tilik nasib ikut bulan kelahiran perbuatan syirik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan - Kredit Janaan AI

KANGAR – Umat Islam diingatkan agar tidak tertipu dengan semua bentuk tilikan nasib termasuk yang ditawarkan menerusi aplikasi dalam talian dan media sosial yang berleluasa ketika ini.

Khutbah Jumaat bertajuk Islam Melarang Mempercayai Tilikan Nasib dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis hari ini menyebut semua bentuk tilikan diharamkan dalam Islam kerana boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kebodohan dan perbuatan syirik.

Menurut khutbah itu, ia boleh menjurus kepada syirik kecil atau syirik besar, bergantung kepada tahap kepercayaan serta keterlibatan individu tersebut.

“Islam telah memberi amaran keras terhadap semua bentuk amalan ini dan antara bentuk tilikan yang wajib dijauhi sebagaimana yang telah ditegah oleh Islam ialah tilik nasib berdasarkan bulan kelahiran seseorang.

“Ramalan ini menggunakan nama-nama bintang seperti Aries, Taurus, Gemini dan seumpamanya, yang disusun mengikut bulan kelahiran individu. Ia kini tersebar luas melalui laman web, media sosial serta aplikasi ramalan harian.

“Amalan sebegini adalah satu bentuk dakwaan mengetahui perkara ghaib yang jelas bertentangan dengan prinsip tauhid,” katanya.

Menurutnya, anak-anak dan para remaja perlu dididik agar tidak menjadikan ramalan bintang sebagai panduan hidup.

“Kepercayaan seperti ini boleh mendorong seseorang untuk berputus asa dan menganggap bahawa apa sahaja yang dilakukannya tidak akan berjaya kerana kononnya nasib tersebut telah tertulis dalam tilikan itu,” ujarnya.

Kata khutbah itu, tilik nasib melalui tapak tangan pula kononnya bagi mengetahui jangka hayat, rezeki, jodoh dan kejayaan seseorang adalah kepercayaan batil yang tidak bersandarkan wahyu atau ilmu yang sah.

“Jauhilah individu yang mendakwa mampu membaca nasib melalui tapak tangan. Elakkan daripada menyokong sebarang kandungan video atau siaran langsung yang mempromosikan amalan tersebut.

“Berpegang teguhlah kepada prinsip bahawa masa depan seseorang tidak ditentukan oleh garis tangan, sebaliknya berada di bawah kehendak dan rahmat Allah SWT.

“Jika benar seseorang itu mampu menilik nasib orang lain, mengapa dia tidak menilik nasib dirinya sendiri? Tentu sahaja penilik nasib ini akan menjadi individu yang lebih hebat dan lebih berjaya dalam hidup berbanding orang lain kerana dia mengetahui nasib dirinya sendiri,” jelasnya.

Katanya, tilikan lain ialah melalui kad misteri yang kononnya mampu mendedahkan rahsia masa hadapan dengan ia didakwa mengandungi unsur sihir dan kepercayaan terhadap kuasa ghaib selain Allah SWT.

“Jangan sesekali kita mencuba bacaan kad percuma yang ditawarkan dalam talian walaupun sekadar untuk suka-suka, ia boleh menanam kepercayaan yang salah dalam diri.

“Yakinlah bahawa petunjuk sebenar dalam hidup hanya datang daripada al-Quran dan sunah, bukan daripada simbol-simbol pada kad. Amalan yang memperbodohkan akal seperti ini ditolak oleh Islam,” ujarnya.

Tambahnya, kesesatan lain ialah menerusi tilikan nasib melalui goncangan batang buluh kecil serta berdasarkan kejadian tertentu dengan sebahagian orang mempercayai kejadian seperti burung melintas ke kiri, biawak atau tok sami melintas di hadapan laluan jalan merupakan petanda nasib buruk akan berlaku.

“Kepercayaan seperti ini ditegah dalam Islam. Tanamkan keyakinan bahawa tidak ada kejadian yang berlaku tanpa izin dan qadar Allah. Jangan kaitkan mimpi, suara binatang atau lintasan makhluk dengan untung nasib diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI