fbpx

Sze Fei-Izzuddin, Yew Sin-Ee Yi ke separuh akhir Terbuka Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI beregu lelaki No. 1 dunia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei

KUALA LUMPUR – Beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bermandi peluh sebelum bangkit mencatat kemenangan ke atas beregu Indonesia, sekali gus mengetuai kebangkitan berganda beregu lelaki ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025, sebentar tadi.

Dalam aksi suku akhir tersebut, pasangan profesional negara itu turun dengan penuh disiplin di set pertama apabila mudah mengatasi beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 21-13.

Bagaimanapun, pasangan negara itu kelihatan hilang rentak pada set kedua apabila dihukum beberapa kesilapan mudah yang membolehkan beregu Indonesia bangkit mengheret permainan ke set penentuan dengan kemenangan 21-17.

Set ketiga berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata sebelum Sze Fei-Izzuddin mengesahkan kemenangan 22-20 dalam pertarungan yang mengambil masa 59 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Kejayaan tersebut menyuntik semangat Sze Fei-Nur Izzuddin untuk mempertahan gelaran yang mereka raih tahun lalu.

Pada aksi separuh akhir esok, beregu ranking No. 1 dunia tersebut akan berdepan gandingan dari Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han seleas mereka mengakhiri cabaran beregu Malaysia, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-18, 23-25, 17-21.

Dalam satu lagi aksi, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mencuri tumpuan apabila menumbangkan gandingan handalan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam pertarungan dua set yang cukup dramatik.

Gandingan profesional negara itu menampilkan ketenangan luar biasa sebelum mencatat kemenangan 25-23, 21-19 ke atas naib juara Olimpik Paris 2024.

“Saya sangat teruja dengan kemenangan ini dan ia meningkatkan tahap keyakinan kami. Apapun, selepas ini kami perlu berbincang dengan jurulatih dan apa yang perlu diperbaiki pada permainan kami menjelang aksi esok,” kata Yew Sin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pasangan ranking ke-30 dunia itu akan berdepan beregu nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae bagi perebutan tiket ke final.

Selain itu, dua lagi wakil negara turut menempah tiket ke pentas separuh akhir esok antaranya ialah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI