fbpx

Suami isteri diberkas selepas aksi dikejar lima MPV polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta Wira dinaiki suspek selepas merempuh sebuah MPV polis di Taman Cheng Ria.

MELAKA – Sepasang suami isteri yang memiliki pelbagai rekod jenayah lampau diberkas selepas aksi dikejar lima unit kereta peronda (MPV) di sekitar bandar ini malam semalam.

Suspek lelaki berusia 28 tahun dan isteri, 27, dicekup kira-kira pukul 11.30 malam selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka merempuh sebuah MPV polis di Taman Cheng Ria.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasangan itu dikesan di kawasan KIP Mall Bachang kerana dipercayai terlibat dalam satu kes ugutan jenayah.

“Ketika cubaan menahan, suspek bertindak memecut laju menyebabkan pihak polis melancarkan operasi mengejar ke arah Cheng.

“Sepanjang aksi kejar-mengejar, kenderaan dinaiki suspek bertindak agresif dan merempuh sebuah MPV hingga menyebabkan bahagian hadapan serta lampunya rosak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek lelaki mengalami kecederaan lebam di muka akibat pelanggaran dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 18 rekod lampau membabitkan 11 kes jenayah dan tujuh kes narkotik, manakala wanita itu pula memiliki empat rekod berkaitan jenayah serta dadah.

“Kedua-dua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI