MISI skuad ragbi 7 sebelah (7s) wanita negara untuk memburu pingat di Sukan SEA Thailand 2025 dibayangi ancaman besar daripada Filipina yang dijangka menurunkan beberapa pemain naturalisasi pada saat-saat akhir.
Ketua jurulatih negara, Mohammad Faiz Samsukhidir menyuarakan kebimbangan tersebut bahawa strategi ‘pemain import’ itu mampu menggagalkan sasaran Malaysia apatah lagi dengan rekod prestasi mereka yang pernah menggunakan taktik sama pada edisi lalu.
Menurut Faiz, walaupun Filipina dikhabarkan berdepan kekangan bajet, pengalaman lalu membuktikan mereka tidak boleh dipandang mudah.
“Sebelum ini mereka bawa masuk empat orang, kali ini saya jangka mungkin sehingga enam pemain boleh didaftarkan.
“Biarpun mengatakan mereka berdepan masalah bajet, tetapi dalam Sukan SEA, apa sahaja boleh berlaku. Jadinya, kami perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang berlaku,” katanya.
Selain Filipina, Faiz turut mendedahkan, Singapura dan Thailand juga melakukan persiapan terbaik dalam memburu pingat emas pada temasya berlangsung Disember nanti.
“Kita baru mula berlatih tahun ini, sedangkan pencabar utama seperti Singapura sudah dua tahun berlatih tanpa henti dengan barisan pemain yang sama. Mereka (Singapura) sudah kalahkan kita tahun ini,” tambahnya.
Meskipun berdepan laluan sukar, Malaysia yang pernah membawa pulang pingat gangsa pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, tetap memasang impian untuk memperbaiki pencapaian tersebut dalam misi memburu tempat ke final terlebih dahulu.
Sebagai langkah persiapan, skuad negara akan menyertai Kejohanan Ragbi Asia di China dan Sri Lanka sebagai penilaian terakhir sebelum senarai 18 pemain ke Bangkok dimuktamadkan.