LONDON – Seorang murid terkorban, manakala 21 lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di barat daya England, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kemalangan berlaku sebelum pukul 3 petang (waktu tempatan) di Jalan A396 dalam daerah Somerset.
Bas yang membawa pelajar dari Sekolah Menengah Minehead itu dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Zoo Exmoor di Devon sebelum terbabas dan terbalik.
Jurucakap Polis Somerset, Superintendan Mark Edgington berkata, kira-kira 60 hingga 70 orang termasuk pelajar berada di dalam bas semasa kejadian.
“Bas itu sedang melalui jalan di bandar terpencil sebelum tergelincir lalu terjunam 6 meter ke dalam gaung,” kata Edgington.
Ketua Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Devon dan Somerset, Gavin Ellis berkata, lapan jentera serta 60 anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.
“Seramai 21 mangsa dengan dua daripadanya cedera parah telah dibawa ke hospital melalui udara dan darat di Bristol.
“Pasukan penyelamat sedang bekerja keras untuk menyelamatkan penumpang yang terperangkap,” kata Ellis sambil menambah, siasatan masih giat dijalankan. – AGENSI