WASHINGTON – Protes bagi menentang dasar kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah bermula semalam di lebih 1,600 lokasi seluruh negara, lapor saluran berita CNN.
Tunjuk perasaan itu antaranya membantah dasar pengusiran pendatang asing besar-besaran dan pemotongan bantuan program perubatan Medicaid serta jaring keselamatan lain untuk penduduk miskin.
“Kita semua sedang bergelut dengan kebangkitan autoritarianisme dan pelanggaran undang-undang dalam pentadbiran negara ini.
“Ia berlaku ketika hak, kebebasan dan jangkaan demokrasi kita sedang dicabar,” kata Presiden Bersama Public Citizen, Lisa Gilbert semasa sidang akhbar secara maya.
Public Citizen adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi yang dinyatakan untuk mengambil alih kuasa korporat.
Ia terdiri daripada gabungan kumpulan yang menganjurkan protes antidasar Trump.
Protes itu diadakan di sepanjang jalan, mahkamah dan tempat awam lain.
Namun, penganjur menyeru agar ia diadakan dalam keadaan aman. – AGENSI