JOHOR BAHRU – Polis tidak menolak kemungkinan penutup lubang utiliti atau ‘manhole’ tercabut selepas dilanggar sebuah van sekolah yang membawa 16 pelajar di Jalan Abdul Samad, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bagaimanapun punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.
Polis bagaimanapun menolak dakwaan lubang itu terbuka mempunyai kaitan dengan kes curi kabel kerana tidak menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
“Siasatan mendapati van jenis Nissan Urvan itu dalam perjalanan mengambil dan menghantar pelajar ke beberapa sekolah di sekitar Johor Bahru.
“Semasa melalui lokasi kejadian kenderaan itu melanggar lubang pembetung di tepi jalan lalu hilang kawalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pada pukul 7.01 pagi itu, van tersebut terbalik menyebabkan beberapa mangsa cedera termasuk patah tangan dan patah jari. Ketika kejadian van itu membawa sembilan pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan berusia sembilan hingga 15 tahun.