PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka bersama isterinya serta dua pengarah syarikat ekoran dipercayai terbabit rasuah melibatkan perolehan tender pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180juta.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek merupakan pengurus kontrak syarikat direman selama tujuh hari sehingga 24 Julai depan, sementara isterinya direman selama tiga hari.
Dua suspek lelaki berjawatan pengarah syarikat berkenaan direman selama lima hari sehingga 22 Julai selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu telah ditahan dalam Op Ways dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang, semalam.
Katanya, pada operasi itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.
“Wang itu dipercayai rasuah yang dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menetapkan bayaran wang rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek yang diperoleh dua syarikat berkenaan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 kesalahan liabiliti korporat. – KOSMO! ONLINE