fbpx

Penangkapan salah, Siti Kasim peroleh ganti rugi RM160,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam Siti Kasim mendapat ganti rugi RM160,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung penangkapan salah dan penahanan tidak sah dalam satu serbuan majlis makan malam kutipan derma di sebuah hotel pada 2016.

Hakim Su Tiang Joo memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim selaku plaintif terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta 22 pihak sebagai defendan.

Mahkamah membenarkan ganti rugi am sebanyak RM60,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM100,000 dibayar kepada aktivis itu serta kos RM100,000.

Dalam penghakimannya, Hakim Tiang Joo berpuas hati bahawa Siti Kasim berjaya membuktikan melalui imbangan kebarangkalian bahawa dia telah ditahan secara salah sebelum dibawa ke Balai Polis Daerah Dang Wangi.

“Mahkamah turut berpuas hati wujud salah laku penjawat awam ketika melaksanakan serbuan terhadap peserta pertandingan ratu cantik `mak nyah’ dalam dewan berkenaan sehingga menimbulkan ketidakselesaan terhadap mereka.

“Saya setuju plaintif selaku peguam dalam melaksanakan tugas profesionalnya telah cuba sedaya upaya berbincang dengan pasukan penguatkuasa bagi mengelak penahanan salah,” ujar hakim berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam A. Saha Deva mewakili Siti Kasim manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili defendan.

Siti Kasim memfailkan saman pada September 2019 bagi mencabar tindakan Jawi yang didakwa menangkap secara salah dan mengurungnya secara tidak sah berikutan serbuan di sebuah hotel pada 3 April 2016.

Menurut pernyataan tuntutan, peguam yang juga aktivis itu mendakwa dia dikenakan penahanan salah antara 10.30 malam pada 3 April 2016 dan 2.30 pagi pada 4 April 2016.

Beliau mendakwa bahawa tindakan agensi penguat kuasa agama itu adalah sama dengan pemenjaraan palsu, salah guna jawatan awam dan penafian hak perlembagaannya untuk kebebasan peribadi.

Siti Kasim mendakwa beliau hanya menjalankan tugas sebagai peguam semasa serbuan itu dan tidak menghalang pegawai Jawi menjalankan tugas atau melakukan sebarang kesalahan.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa Jawi tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa penyiasatan ke atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Menurut Siti Kasim lagi, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Siti Kasim atas pertuduhan menghalang pegawai awam menjalankan tugas semasa acara di hotel itu.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Siti Kasim terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan pada akhir kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI