PETALING JAYA – NCT Alliance Berhad (NCT) meraih pengiktirafan sebagai Syarikat Pemaju Hartanah Terbaik untuk Anugerah Semangat Komuniti Cemerlang pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis anugerah tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.
NCT dipilih atas kepelbagaian inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) strategik dan berpaksikan komuniti yang dilaksanakannya di pelbagai negeri.
Tahun lalu, Kumpulan telah melabur lebih RM690,000 dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disokong oleh rangka kerja tadbir urus ESG yang mantap, disokong keikhlasan serta komitmen mendalam untuk membantu kemajuan komuniti.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pengiktirafan ini adalah gambaran jelas bahawa pelaburan jangka panjang Kumpulan dalam membina komuniti mempunyai kesan yang meluas dan berasaskan kepada tanggungjawab, keterangkuman, serta penciptaan nilai.
“Dipandu Pelan Hala Tuju ESG 2025–2029 kami, NCT kekal fokus untuk meningkatkan kualiti kehidupan keluarga serta individu, dan kami berbangga untuk mengetahui bahawa prinsip kemampanan tertanam pada setiap aspek reka bentuk, pembangunan dan penyampaian produk kami untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Anjuran CSR Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kemampanan Korporat & Kebertanggungjawaban Malaysia, anugerah itu mengetengahkan organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang cemerlang dalam khidmat mereka sebagai agen perubahan untuk meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi melalui CSR. – KOSMO! ONLINE