PETALING JAYA – Laporan siasatan awal kemalangan yang dikeluarkan pihak berkuasa mendapati tiada sebarang kerosakan teknikal dikesan pada kenderaan terlibat, sekali gus menolak spekulasi awal bahawa kegagalan mekanikal menjadi punca utama insiden tersebut.
Sebaliknya, laporan itu menjelaskan bahawa beberapa faktor lain seperti ketiadaan sistem pemantauan kelajuan secara aktif seperti GPS atau SLD dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada insiden tersebut.
“Ketiadaan peranti kawalan kelajuan dan pemantauan seperti SLD atau GPS aktif pada kenderaan menghalang sebarang pengesanan awal dan kawalan terhadap kelajuan berlebihan.
“Kelemahan struktur atas (superstructure) bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” jelas laporan tersebut
Laporan berkenaan turut memetik keperluan memperkukuh ciri-ciri keselamatan pada bas awam dan memperkenalkan standard tambahan terhadap reka bentuk serta pemantauan operasi kenderaan berat.
Langkah susulan dijangka diumumkan oleh pihak kementerian bagi memastikan insiden sama tidak berulang. – KOSMO! ONLINE.