fbpx

Nahas UPSI: Pemandu kedua tiada lesen sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bas membawa pelajar UPSI yang terlibat kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, Gerik pada Jun lalu.

PETALING JAYA – Laporan awal siasatan kemalangan sebuah bas mendapati salah seorang pemandu tidak memiliki lesen sah, selain kedua-duanya mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang membimbangkan.

Pemandu utama dikesan memiliki 18 saman trafik termasuk 13 yang belum dijelaskan, manakala pemandu kedua pula mempunyai sejumlah 22 saman aktif melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan kesalahan lain.

“Rekod kesalahan yang tinggi ini mencerminkan corak pemanduan berisiko dan ketidakpatuhan berulang terhadap undang-undang jalan raya.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan pemilihan dan pemantauan disiplin pemandu oleh pihak pengendali, serta kekurangan mekanisme saringan risiko dalam sistem pengangkutan awam sedia ada untuk mengesan dan mencegah individu dengan sejarah pelanggaran berulang daripada terus memandu kenderaan awam,” jelas laporan tersebut.

Selain itu, corak pemanduan agresif seperti pecutan melampau dan brek mengejut semasa mengambil selekoh turut dikenal pasti sebagai antara punca kehilangan kawalan ketika menuruni bukit.

“Rakaman dan analisis awal menunjukkan bahawa pemanduan sebelum kejadian dicirikan oleh corak agresif seperti pecutan berlebihan dan membrek mengejut, terutamanya semasa menghampiri selekoh di laluan menuruni bukit.

“Corak ini jika disahkan, mungkin menunjukkan ralat penilaian, kekurangan latihan dalam pemanduan defensif, atau tekanan operasi untuk menepati masa,” jelas laporan tersebut.

Pihak siasatan menyifatkan keadaan itu sebagai petunjuk kepada kelemahan pemantauan oleh syarikat pengendali serta sistem semakan kelayakan pemandu dalam industri pengangkutan awam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI