KUALA LANGAT – Kerjasama kerajaan negeri diperlukan dalam mempermudahkan syarat penukaran geran kegunaan tanah bagi penanaman kelapa sawit daripada tanaman lain.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, terdapat 50,000 hektar tanah tanaman kelapa sawit di seluruh negara dikenalpasti terlibat dengan masalah tersebut.
“Saya hendak beritahu kepada semua kerajaan negeri untuk melihat semula geran kegunaan tanah itu.
“Ini kerana apabila kita hendak buat Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) Peraturan Kesatuan Eropah (EU) Mengenai Penebangan Hutan (EUDR), hakmilik sah perlu dinyatakan untuk tanaman kelapa sawit.
“Kebanyakan pemilik tanah yang terlibat tidak tukar syarat kegunaan tanah (kepada kelapa sawit)
dan masih untuk tanaman getah, sebab mereka kena bayar premium yang tinggi,” katanya selepas meluncurkan Projek Rintis Biodiesel Sawit B30 di Golden Hope Academy, Pulau Carey di sini hari ini.
Beliau berkata, premium yang tinggi yang dikenakan kerajaan negeri antara RM30,000 hingga RM40,000 menyebabkan pemilik tanah gagal menukar syarat kegunaan tanah itu. – KOSMO! ONLINE