BENTONG – Selaras dengan usaha menjadikan Bentong sebagai bandar lestari, kira-kira 500 pokok ditanam dalam program penanaman pokok di kawasan Bentong Maju di sini.
Usaha penanaman pokok berkenaan dianjur dan disumbangkan oleh orang perseorangan iaitu Datin Kelvinderjeet Kaur yang juga merupakan Top Finalist Mrs Earth Malaysia.
Kelvinderjeet berkata, antara pokok yang ditanam ialah pokok renek ganda rusa, pokok bunga kertas, pokok bunga loropetelum, pokok pandanus kuning dan pokok pandanus merah.
“Ini adalah satu langkah kecil saya ke arah menghijaukan kawasan di bandar Bentong demi kepentingan menjaga alam sekitar untuk masa depan dan saya akan meneruskan lagi usaha sebegini dari semasa ke semasa.
“Terima kasih kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Datuk Rose Samsul Abdul Razak atas sokongan dan kepercayaan kepada saya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa kawasan lain di sekitar bandar Bentong telah dikenal pasti untuk penanaman pokok pada peringkat seterusnya dengan kebenaran pihak MPB.
Dalam pada itu, Jasvir Singh berkata, pihak MPB amat menyokong usaha murni mana-mana pihak untuk menceriakan kawasan bandar Bentong termasuk dengan cara penanaman pokok.
Katanya, usaha menghijaukan bandar Bentong sebenarnya tidak terletak di bahu pihak berkuasa tempatan semata-mata tetapi perlu penglibatan masyarakat.
“Saya harap usaha yang dilakukan Datin Kelvinderjeet akan menjadi contoh kepada orang lain dan selepas ini lebih banyak individu atau pihak swasta akan sama-sama melaksanakan program seperti ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE