PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki menangkap beberapa kanak-kanak yang dipercayai cuba mencuri sebiji durian mencuri perhatian orang ramai.
Menerusi sebuah klip tular di media sosial, memaparkan lelaki berkenaan yang dilihat berjaya menangkap salah seorang daripada kanak-kanak terbabit, manakala seorang lagi sempat melarikan diri.
Kebanyakan orang ramai di ruangan komen mencetuskan perdebatan apabila ada yang menganggap tindakan lelaki tersebut agak keterlaluan memandangkan hanya sebiji buah yang cuba diambil.
“Takkan lah budak-budak itu ambil sebiji sudah tangkap dan cakap mereka mencuri,” komen Zaza Lia.
“Bagi sahajalah budak itu makan sebiji. Tak rugi apa-apa pun bang, saya tolong bayarkan pun boleh,” kata salah seorang pengguna.
Sementara itu, ada juga segelintir netizen yang menyokong tindakan tegas itu sebagai bentuk pengajaran awal agar perbuatan mencuri tidak menjadi tabiat.
“Kena tegas dengan budak-budak macam ini bukan untuk menghukum, tetapi untuk mendidik. Kalau bagi macam itu sahaja, diorang akan naik lemak. Nanti mereka akan budak benda sama semula,” ujar seorang lagi pengguna.
“Melentur buluh biar dari rebungnya. Matlamat tidak menghalalkan cara ye, kalau nak makan minta bukan mencuri. Kalau tidak dibendung dari awal lama-lama akan jadi kebiasaan sampai ke besar,” balas Mohd Munzir Mohamad Shah. – KOSMO! ONLINE