ROM – Seorang atlet sukan ekstrem dari Austria maut selepas terhempas ke dalam kolam renang sebuah hotel ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Itali, lapor portal berita MailOnline.
Felix Baumgartner, 56, dikenali ramai kerana pernah melakukan terjunan ke Bumi dari kawasan sempadan angkasa pada tahun 2012.
Dalam insiden semalam, Felix melakukan luncur udara di kawasan pantai sebelum dia berasa tidak sihat sejurus sebelum melakukan lompatan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).
Situasi itu menyebabkan dia hilang kawalan ke atas payung terjun lalu terjatuh di kolam renang tapak perkhemahan Le Misome, wilayah Marche.
Felix ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami serangan jantung. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang wanita turut cedera selepas dirempuh Felix ketika dia menghampiri darat. Mangsa dibawa ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut, lapor media tempatan.
Sebelum nahas, Felix sempat memuat naik video di platform Instagram dengan keterangan berbunyi: “Angin terlalu kuat.” – AGENSI