MUAR – Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjun ke dalam sungai di Jambatan Jalan Panchor, Kampung Gerisek, di sini pagi hari ini.
Menurut Ketua Bomba Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.21 pagi ini.
“Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai. Mangsa dikenal pasti warga emas berusia 62 tahun dan masih belum dijumpai.
“Anggota bomba melakukan pencarian di sekitar tepi sungai bersama polis. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi mencari mangsa. Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir diketuai Rahimi Rahmat dikejarkan ke tempat kejadian bersama dua jentera. – KOSMO! ONLINE