fbpx

Warga emas didenda RM100,000 ekstrak pasir di tanah kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEE ONN (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas kesalahan mengekstrak bahan batuan jenis pasir biasa tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan di Sungai Ara, Mukim Gali, dua tahun lalu.

RAUB – Seorang lelaki warga emas didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini selepas didapati bersalah mengekstrak bahan batuan jenis pasir biasa tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan di Sungai Ara, Mukim Gali, di sini dua tahun lalu.

Tertuduh, Chang Chee Onn, 67, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan pada 9 Disember 2023 kira-kira pukul 2.45 petang dengan mengekstrak bahan batuan jenis pasir biasa di tanah kerajaan, Sungai Ara, Gali di Raub tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa negeri.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang membawa hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiuddin Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman diringankan atas alasan dia tidak mempunyai pekerjaan serta menanggung seorang isteri dan seorang anak.

Bagaimanapun, Muhammad Taqiuddin memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran memandangkan kesalahan itu menjejaskan hasil kerajaan negeri dan dilakukan secara terang-terangan.

“Kesalahan ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada ketirisan hasil kerajaan kerana aktiviti ini tidak membayar royalti yang sepatutnya kepada negeri,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.  Hakim Noor Zaihan turut memerintahkan tiga jentera iaitu sebuah jengkaut dan dua buah lori ‘tipper’ yang disita pada pada masa kejadian dilucut hak kepada kerajaan negeri Pahang. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI